Saturday, August 21, 2010

Cerpen Raya: Cinta Samosa

Kuih Samosa...hurm?


Punat ‘ON’ pada TV Plasma 32 inci itu ditekan.

‘Saya, penyimpan besar mohor Majlis Raja-Raja, setelah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin, dengan ini, mengisytiharkan tarikh bagi ibadah puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia, jatuh pada hari Rabu 11 Ogos 2010 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1431 Hijrah.’

Punat ‘OFF’ ditekan. Kemudian dia berlari-lari menuju ke bilik sahabatnya.

“ Weh, esok sudah start puasa bah.”
.
 Syazwan yang sedang membolak-balikkan tubuhnya di hadapan cermin rias, sedikit tersentak.

“ Kalau iya pun bagilah salam dulu. Kita ni orang Islam. Ada adab.”
Azizi tersengih mendengarkan nasihat Syazwan. Termalu juga dia dibuatnya.

“ Kau rasa baju yang aku pakai ni matching tak kaler dia?” Soal Syazwan sambil membolak-balikkan tubuhnya persis model terkenal. Sudah lama dia di hapadan cermin itu bagi mendapatkan kombinasi terbaik warna pakaian yang akan dipakainya ke tempat kerja pada esok hari. Esok adalah hari pertama dia memulakan kehidupan bekerjaya.
Azizi melurut-lurutkan janggutnya. Jarinya digerak-gerakkan. Kononnya tengah berfikir.

“ Erm okey...kaler seluar dengan kaler baju matching. Tapi yang tie tu kenapa pula kaler pink bah?”

“ Pink? Kenapa? Lelaki tak boleh pakai pink ke bah?”


******************************************************

Syazwan membuang pandangan ke luar jendela kaca. Dilihatnya jauh ke bawah. Spontan rasa kagum menyerbu sekepal hatinya. Rasa kagum yang ikut serta mengandung rasa gerun pada ketinggian dek bahana penyakit gayat yang dihadapi olehnya. Terlongo seketika dia di situ menyaksikan pemandangan kota Kuala Lumpur dari aras 53 di Petronas Twin Tower itu. Lantas handset Samsung Omnia HD yang baru dibelinya seminggu lepas dikeluarkan dari poket. Landskap kota Kuala Lumpur yang kelihatan seolah-olah prototaip hidup sebuah kota diabadikan di dalam handsetnya.

Chit chrup! Chit chrup!

Pelbagai gaya mimik muka tak senonoh digayakannya di hadapan kamera itu. Selepas ini, dia akan terus mengemas kini profil facebook dengan meletakkan gambar-gambar terbaru itu. Seiring dengan caption gambar yang menyatakan ‘bermulanya kehidupan bekerjaya aku di bangunan tertinggi di dunia’. Pastinya kelak menimbulkan rasa bangga bila ditatap oleh rakan-rakannya nanti.

 “ Ha, macam mana first day kau hari ini?”

Sapaan itu hampir sahaja menyebabkan handset di tangannya terpelanting tanpa arah. Kelam kabut juga dia dibuatnya. Mujur saja dia bijak mengawal rasa terkejut itu.

Soalan itu milik Encik Azhar, seorang senior engineer di syarikat ini. Orangnya masih muda, mungkin dalam 30-an lagi. Syazwan cuba mengagak.

“ Alhamdulillah, saya gembira menjadi sebahagian daripada aset penting negara di sini. A whole totally new experience for me”, Syazwan menjawab penuh hemah. Segumpal nafas dihembusnya perlahan.

“ Em, encik Azhar dah berapa lama kerja dekat sini?” Syazwan bertanya pula, cuba berbasa-basi.

“ Tak payah berencik-encik dengan aku. Panggil saja Azhar. Nak panggil abang Azhar pun okey. Aku ni bujang lagi. Kau tu pula macam baya aku saja”. Azhar menepuk-nepuk belakang juniornya. Syazwan menggaru-garu kepala, lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Takpelah..Akhirnya Syazwan hanya terangguk-angguk kecil seolah mengiakan kata-kata Azhar.

 “ Oh ya, ni ada sedikit kuih buat berbuka nanti. Tadi kak Rahimah ada jual. Saja aku beli lebih. Nah, ambillah”, Azhar menghulurkan satu beg plastik berisi kuih yang Syazwan sendiri tak tahu namanya.

“ Eh, susah-susah ja abang Azhar”, Syazwan berasa sedikit canggung memanggil seniornya dengan panggilan sebegitu.

“ Kuih ape ni?”

“ Kuih Samosa tu” , jawab Azhar sebelum berlalu pergi.


                  *************************************************

“Huh”

Syazwan melepaskan keluhan berat. Dia berhenti berehat seketika. Nafas ditarik dalam-dalam. Melepaskan kewalahan. Tangannya dilibas-libaskan di hadapan mukanya. Seolah-olah cuba menarik gas oksigen ke rongga hidungnya. ‘ Penat nak mampus!’, keluh Syazwan lagi setelah bersesak-sesak di dalam LRT yang bagaikan tin sardin bergerak sebelum sampai di destinasi Wangsa Maju, tempat tinggalnya.

 “ Syazwan...cepat weh. Dah pukul berapa ni? Mana dengan nak pergi bazaar lagi. Lepas tu nak kejar bas pula. Karang tak pasal-pasal melepas!”

Dari jauh si Azizi, teman serumahnya sudah bercekak pinggang bagai mak nenek. Seiring dengan mulut terkumat-kamit menghamburkan leteran.

Syazwan tunduk memandang jam di lengan kirinya. Waktu sudahpun menunjukkan pukul 5.50 petang. Bermakna mereka hanya mempunyai kira-kira 10 minit sahaja lagi untuk membeli juadah berbuka di bazaar Ramadhan. Sebelum bas RapidKL bernombor T101 tiba untuk membawa mereka ke Wangsa Maju seksyen 4, tempat tinggal mereka.

“Okey-okey.”

Syazwan membuntuti langkah Azizi untuk ke bazar Ramadhan yang letaknya betul-betul menghadap stesen LRT Wangsa Maju dan di sebelah kompleks membeli-belah Alpha Angle.

“ Aku nak cari kuih tu, kuih yang aku makan semalam tu”

“ Kuih samosa tu?” Soal Azizi.

Syazwan mengangguk. “ Terbayang-bayang aku rasa kuih tu. Sedap gila bah!”

“Sini mana nak cari? Kalau ada pergila cari sendiri. Aku nak pergi beli murtabak”. Azizi berlalu meninggalkan Syazwan.

Sudahnya, Syazwan menonong sendirian. Langkahnya gontai melewati dari satu gerai kuih ke satu gerai kuih yang lain. Puas ditilik-tenungnya, namun kelibat kuih samosa yang dicari-cari belum juga kelihatan.

 “ Kuih Samosa,kuih Samosa…tiga singgit, tiga singgit. Cepat-cepat, tinggal sebungkus saja lagi!” 

Mendengarkan laungan itu, mata Syazwan bersinar sambil bibirnya merekah senyuman. Pantas saja kakinya diarak ke arah gerai kuih yang kelihatan lengang itu.

“ Mak cik, bagi saya sebungkus!” Kata syazwan dengan perasaan yang membunga riang.

“ Saya nak sebungkus!” Kata satu suara yang lain pula hampir serentak.

Syazwan menoleh ke kanan. Dilihatnya seorang gadis bertudung-litup sedang memegang satu-satunya bekas polistrin berisi kuih Samosa yang ingin dibelinya. Syazwan tak puas hati.

“ Eh awak, saya yang nak beli dulu kuih ni. Saya yang nampak dulu!”

Gadis tersebut menoleh ke arahnya. “ Awak tak nampak ke saya yang pegang dulu bekas ni?” Anak matanya tajam menikam mata Syazwan.

Syazwan tak mahu mengalah. ‘Nak main mata pulak! Takpe!’ Syazwan menjegilkan biji matanya. Dibulatkannya bola mata itu sebulat yang mungkin. Seiring dengan paras wajah tegang, mempamerkan riak wajah bahawa dia tidak akan mengalah.

 “ Saya yang cakap dulu kat mak cik ni saya nak beli. Mak cik, betulkan saya yang cakap dulu?”

Penjual kuih Samosa  itu mengerutkan dahinya, pening dengan gelagat dua orang anak muda di hadapannya kini.

“Betul dik, adik yang sorang ni cakap dulu”, katanya sambil mengunjukkan tangan ke arah Syazwan. “ Mak cik minta maaf nak” , sambungnya lagi sambil memandang ke arah gadis tersebut.

Syazwan menyimpul senyum di dalam hati. ‘ Ah, padan muka kau!’ Bibirnya dijuihkan ke arah gadis itu. Dengan wajah yang sarat menanggung malu, gadis itu segera melangkah pergi tanpa sepatah kata.

                      *************************************************************

Esoknya…

“Kuih Samosa ada lagi mak cik?” Syazwan bertanya sambil mengesat peluh di dahi dengan hujung lengan kemejanya. Peluh jantan masih merembes keluar. Syazwan mengibas-ngibas pula tangannya di hadapan muka.

Penjual kuih Samosa itu menggeleng-gelengkan kepalanya. “ Mak cik minta maaf nak. Kamu lambat sikit saja. Baru tadi adik yang dekat sana tu beli. Dia borong sampai lima bungkus terus. Sekarang, mak cik dah nak tutup pun gerai ni.”

Serentak dengan itu, Syazwan terus menoleh kebelakang, ke arah yang ditunjukkan oleh mak cik itu. Spontan Syazwan menggeleng tak percaya bila kelibat gadis yang sama semalam menujah tubir mata.

‘Ahh...that girl. Damn me!’ Gumam Syazwan di dalam hati.

Gadis itu sedang tersenyum simpul ke arahnya, ada riak bangga pada wajah putih mulus gadis itu. Sebelah tangannya yang sedang memegang beg plastik berisi kuih Samosa itu sengaja ditinggikan. Sengaja nak menunjuk-nunjuk. Seolah-olah sengaja ingin menyemai api kemarahan di dalam diri Syazwan.

Syazwan mengepal jemari kedua-dua tangannya. Selajur menghentak kaki ke tanah tanda tak puas hati.  Menyampah dia dengan gelagat gadis tersebut. Saat ini ego lelakinya terasa tercabar benar. ‘Ni tak boleh jadi ni…its ok, we’ll see next time’, dalam diam, terdetik niat itu di hatinya.

Gadis  tersebut bertambah seronok melihat gelagat Syazwan yang menghentak kaki ke atas tanah. Dia tahu dia sudah menang. Dia sangat puas hati. Dalam hati, dia ketawa sendiri. Buat kali terakhir, dia senyum sinis bagai menyindir Syazwan, sebelum menoleh untuk melangkah pergi. Kemenangan sudah berpihak kepadanya.

“Adoi!!!”

Terhinjut-injut bahu Syazwan menahan gelak. “Kahkahkah, lawaknya”. Mata Syazwan sudah berair cuba menahan gelak. “ Padan muka, langgar tiang…”

                                 **********************************************************

“Fira, aku tak rasa macam nak pergi bazar  je hari ni”

“Nape pulak?” Fira berasa pelik.

“Aku rasa macam nak balik masak dekat rumah je.” Farhana menjawab dengan suara mendatar.

“Aiseh, tak pernah-pernah kau nak masak kat rumah, apa kes?”
Paras sahabatnya itu diperhatikan dengan mendalam. Dari nada suara Farhana sebentar tadi, dia tahu Farhana tak bersungguh-sungguh.

“Apa kes pandang aku macam tu?”

Fira yang masih serius memerhatikannya tiba-tiba tersenyum-senyum.

“Apa senyum-senyum?”

“Aku tau, ni mesti kes langgar tiang semalam kan? ” Berderai tawa Fira terkekeh-kekeh.

“Jahatnya kau, gelakkan aku!” Farhana menampar lengan Fira. Sedangkan Fira semakin menjadi-jadi tawanya.

“Tolong wei, malu la kalau terserempak lagi dengan mamat tu.”

Fira mengangguk tanda mengerti. Ketawanya masih bersisa dalam senyuman yang masih meniti di bibirnya. Kejadian Farhana terlanggar tiang ketika di bazaar semalam, benar-benar menghambat  rasa lucu di dalam dirinya.

“So apa kita nak masak hari ni?”

Farhana mengangkat beg plastik yang sedari tadi dijinjing bersamanya. “Samosa goreng segera”, jawab Farhana sambil tersengih.

Fira mencebik. ‘Tak habis-habis Samosa!’

                    **********************************************************

Hari kesepuluh Ramadhan, bermakna sudah genap sebulan Farhana menjalani latihan praktikal industri di sebuah syarikat multinasional minyak dan gas di situ. Masih berbaki kira-kira tujuh bulan lagi sebelum latihan industri itu tamat, Farhana diletakkan di situ sebagai seorang trainee engineer dalam bidang drilling dan piping. Sesuai dengan ijazah sarjana muda yang sedang dituntutnya dalam bidang Petroleum Engineering di sebuah universiti swasta terkemuka.

Tengah hari itu, Farhana berteleku di cubiclenya. Hasrat hati untuk menyudahkan reading assignment yang diberikan oleh supervisornya, Encik Kamarulzaman belum kesampaian. Mana tidaknya, tidak sampai satu muka surat yang di bacanya, mulutnya sudah menguap-nguap. Menahan kantuk yang sudah membius sebahagian tubuhnya. Farhana menginjakkan lehernya ke atas, melewati had ketinggian cubiclenya. ‘ Cantek, masa untuk tidur!’ desis hatinya setelah melihat keadaan ofis yang lengang.

“Farhana!!”

Farhana terpisat-pisat bangun. Matanya berpinar-pinar. “ Eh bos..”

“Ha, tido aje khoje kome yer”. Encik Kamarulzaman sememangnya anak jati negeri Perak.

Farhana tersengih bagai kerang busuk. “ Minta maaf le bos, semalam saya Qiamullail. Semalam kan lailatulqadar..”

“Iyo ler tu, baru seminggu puasa, dah lailatulqadar. Tu, dah berkerak tahi mata kamu tu!”

Farhana meraba matanya. Ah, betul ada tahi mata! Malunya! Farhana menundukkan wajahnya ke meja. Dari ekor matanya, dia tahu En. Kamarulzaman sedang tersengih ke arahnya.

“Ini, saya nak minta tolong kamu hantarkan dokumen ni ke finance department, bagi dekat Ms. Khoo. Boleh ke idak?”

“Level berapa bos?” Soal Farhana.
“ Level 31”
“ Baik”
                     
*************************************************************

Perjalanan dari level 63 ke level 31 tidaklah terlalu lama. Dengan adanya teknologi lif berkelajuan tinggi yang menjadi nadi di Petronas Twin Tower ini, perjalanan dari satu level ke level yang lain seharusnya singkat. Tetapi pintu lif belum juga terbuka setelah ‘button down’ lama ditekan. Dalam hati, Farhana menggerutu geram.

Setelah lenguh kakinya tercangak di ambang lif, barulah pintu lif itu terbuka. Farhana melangkah masuk dengan muka yang geram. Namun, melihatkan keadaan lif yang kosong, Farhana menyimpul senyum. Segera Farhana mengalunkan lagu favouritenya, ‘Purnama Merindu’. Penuh perasaan. Penghayatan. Lantang. Serta jelas. Sungguh, bakat terpendam yang luar biasa, sehinggakan Farhana tidak menyedari pintu lif terbuka ketika tiba di level 53.

“Tak sedap, pitching lari..”terdengar deraian tawa di hujung ayat itu.

Keasyikan Farhana mengalunkan irama indah lagu nyanyian Siti Nurhaliza itu, tiba-tiba termati andar. Seiring memandang ke arah pintu lif, dia terkesima. ‘ Ah, tidak!’ Farhana kenal akan wajah itu. 'Mengapa perlu dia?’ Farhana meraup tangan ke wajahnya. Gelisah menjerut lubuk wajah.

Pintu lif tertutup rapat. Farhana bergerak sedikit ke belakang ke arah bucu lif. Pandangannya masih menghadap lantai lif. Diam. Sepi. Terlalu sunyi, sehingga jika ada sebatang jarum jatuh sekalipun, pasti dapat ditangkap bunyinya oleh ulas telinga.

Syazwan mengamati gadis yang sedang berada bertentangan dengannya kini. Sudah beberapa hari dia tidak melihat kelibat gadis itu sejak kejadian tempoh hari. Sedangkan sudah lama dia menanti untuk melunaskan dendamnya terhadap gadis itu.

“Hai, apa khabar? Lama tak nampak dekat bazar?” Soal Syazwan membuka bicara. Memberanikan diri. Soalan yang lebih berbaur nada ejekan.
 
Farhana memicit-micit jemarinya. ‘ Dia kenal akulah. Nak buat macam mana ni?’ Ngomel Farhana sendirian. Sekilas pandangan ditala ke arah Syazwan seketika cuma. Tetapi cukup untuk membuatkan Syazwan tergorot rasa kagum melihat pesona wajah Farhana.

‘ Agak-agaknya dia tak faham bahasa melayu kot? Baik aku cakap Jepun.’ Syazwan berbicara sendirian.

“KonNichiwa, genkidesuka?” Tutur Syazwan hentam keromo. Reaksi Farhana yang masih memeluk tubuh mengundang rasa pelik pada diri Syazwan. Spontan tangannya menggaru-garu kepala yang tak gatal. Akhirnya Syazwan yang termalu sendiri turut sama mendiamkan diri.

Suasana di dalam lif itu sepi sehinggalah pintu lif terbuka di level 31, aras yang menempatkan Finance Department. Teragak-agak Farhana untuk keluar dari kotak lif.

“ Okagesamade (saya baik-baik saja)”. Kata Farhana sepatah sebelum berlalu keluar dari lif. Dan ungkapan itu lantas mengundang senyuman singkat daripada Syazwan.

                      ******************************************************

Seminggu berlalu...

“ Dah ke? Cepatla, aku dah letih ni” Farhana merungut. Hari ini seharian dia meneman Fira, housemate nya itu keluar untuk membeli-belah sempena hari raya yang bakal kunjung tiba seminggu sahaja lagi. Dari keadaan hiruk-pikuk di Jalan TAR dan Masjid India, mereka beralih ke pasaraya Sogo, kemudian ke Pasar Seni dan akhir sekali ke Kompleks Alpha Angle.

“ Aku nak cari kain pelekat untuk ayah aku pulak. Takpe, kau pergi dulu bazaar tu beli makanan. Kejap lagi aku datang la...ok? Fira menunjukkan tanda bagus ke arah Farhana.

Farhana mengangguk sekali tanda setuju. “Orait, aku pergi dulu. Nanti miss call tau.”

Farhana melangkah keluar dari shopping complex itu menuju ke kawasan bazar . Dalam fikirannya hanya satu; hendak beli kuih Samosa yang sudah lama tak dijamahnya. Semuanya gara-gara mamat seposen tu. Mujur juga kuih Samosa segera yang disimpan di dalam peti sejuk di rumahnya dapat menjadi penampungnya. Jika tidak, mati seleranya dibuatnya.

Namun, belum sempat Farhana menginjak kaki ke gerai kuih itu, langkahnya terhenti sudah setelah penjual kuih Samosa itu kelihatan seperti sudah berkemas untuk menutup gerai kuihnya. Termati andar langkahnya di tengah keriuhan orang ramai di situ. Farhana hanya mampu menggigit bibir kempunan. Menelan liur tak sudah-sudah ke dalam rengkungannya.

“ Nah, ni untuk awak. Kuih Samosa.” Farhana menoleh dan memandang sekilas. Tercengang panar dia bila terpandang wajah itu. ‘Ah, mamat ni lagi’. Tak semena-mena, Farhana terus  memasang kekuda dan bersiap sedia untuk melarikan diri.

“ Eh, jangan lari. Saya bagi free pun awak tak nak ke?” Syazwan mendepa tangan menghalang Farhana. Seketika, satu beg plastik berisi dua polistrin kuih Samosa dihalakan ke arah Farhana. “ Nah, saya ikhlas ni”.

Farhana teragak-agak untuk mengambil beg plastik tersebut. Dia mengamati wajah Syazwan dengan penuh curiga. Serius dan tak nampak main-main. Ada riak kesungguhan di wajah itu. Dia pasti lelaki yang berada di hadapannya kini benar-benar ikhlas. Cuma dia tak pasti wajarkah dia menerima pemberian itu.

Puas berfikir, akhirnya diambil juga beg plastik yang telah lama dihulurkan Syazwan kepadanya, dan sepantas kilat jugalah nota RM5 dimasukkan ke dalam kocek kemeja Syazwan, sebelum dia berlalu pergi dengan tergesa-gesa. “ Terima kasih”, tukas Farhana perlahan.

Syazwan tergamam seketika dengan tindakan itu sebelum turut meluncur laju bagi menyaingi langkah Farhana. “ Eh, awak..tak payah duit ni, ambil balik.”

“ Saya beli”
“ Saya tak jual. Saya bagi free”

“ If that so, awak bagi je dekat mak cik tu”, kata Farhana sambil mengunjukkan tangan ke arah seorang pengemis wanita yang sedang berteleku di hujung jalan. Farhana terus berjalan laju meninggalkan Syazwan.

Langkah Syazwan yang laju tiba-tiba sahaja sumbang. Teragak-agak dia memegang nota RM5 itu. Kelibat Farhana pula semakin jauh meninggalkan dirinya. Nota RM5 itu akhirnya disedekahkan juga kepada pengemis itu.
.
                              **********************************************

Hari raya bakal menjelma sehari sahaja lagi. Suasana dan semangat hari raya dapat dirasai di mana-mana jua. Warga kota berbondong-bondong mengusung beg meninggalkan Kuala Lumpur, sama ada memandu sendiri atau sebaliknya, sungguh pelbagai karenah dan ragam.

“ Jalan jam ni abang Azhar”

“ Macam nilah KL, tambah pula time nak raya macam ni, waktu-waktu petang macam ni...boleh jadi tension aku dibuatnya!” Azhar menggeleng-gelengkan kepalanya. Radio kereta segera dihidupkan. Kelibat suara Fara Fauzana dari radio Hotfm sedikit menceriakan suasana.

“ Lama ke nak ke Kedah? Agak-agaknya berapa jam?” Soal Syazwan kepada Azhar.

“ Lama tu tak lama jugak la, dalam 5 jam macam tu. Tapi kalau jam macam ni, 10 jam pun belum tentu sampai!” Azhar melepaskan keluhan berat.

“ Takpe bang, biar lambat asal selamat, biar selamat asal lambat”. Syazwan menepuk dahi. ‘Eh, apa aku mengarut ni’.

“ Banyaklah kau punya selamat!” Azhar mengurai tawa yang disusuli Syazwan kemudiannya. Suasana yang sedikit muram sebentar tadi kembali menjadi ceria.

“ Saya excited ni abang Azhar. First time dapat rasa balik kampong”. Serentak dengan itu, lagu ‘Balik Kampung’ nyanyian Sudirman kedengaran di corong radio.

Sebetulnya, ini memang kali pertama Syazwan merasa suasana balik kampung. Sebagai saudara baru yang baru dua tahun memeluk agama suci Islam, dia kehilangan tempat mengadu. Kampung halamannya di Keningau, Sabah telah lama tidak dikunjungi setelah keluarganya berpantang arang dengan keputusannya memeluk Islam. Lantas pelawaan seniornya, Azhar untuk pulang beraya di kampung halamannya, di Kampung Sg. Raga di Yan, Kedah diterima dengan hati yang membunga riang.

“ Habis tu, tahun lepas kau raya mana?” Soal Azhar.

“ Tahun lepaskan saya still study dekat Jepun. Jadi beraya dengan orang-orang Malaysia dekat sana sajalah”

Azhar mengangguk faham. Perjalanan diteruskan sambil pelbagai perkara dibualkan mereka. Mujur keadaan trafik kembali lancar dan cuaca yang elok juga seolah-olah merestui perjalanan mereka.

                            ***************************************************

“Assalamualaikum mak, ayah.” Azhar menghulurkan tangan ke arah kedua-dua orang tuanya. Salam bersambut. Mak Teh mencium-cium pipi anak lelaki bujangnya ini. Seketika, Azhar memeluk pula ayahnya, Pak Mail.

“ Lambat hang sampai Ad?” Soal Pak Mail.

“ Tu la pak, jalan jam teruk tadi.” Azhar tunduk melihat jam di tangan. Sudah pukul 10 malam. Bermakna dia sudah mengharungi perjalanan selama 7 jam.

“Ha, pak, mak..ni kawan Ad yang Ad habaq nak bawak balik hari tu.” Azhar memperkenalkan Syazwan kepada kedua orang tuanya.

“ Assalamualaikum, mak cik, pak cik, saya Syazwan.” Syazwan menghulurkan tangan bersalam dengan Pak Mail. “Pak cik apa khabar?”

“ Pak cik khabaq baik nak. Oghang Sabah ni?” Soal Pak Mail teruja.

“ Saya oghang Sabah pak cik. Nak balik kampung pun jauh sangat. Mujur abang Azhar ni ajak saya ke sini.” Jawab Syazwan dalam loghat utara yang tak berapa menjadi.

“ Amboih segak sungguh kawan hang ni Ad. Dah kawen ka belom, da berpunya ka dak lagi ni.” Puji Mak Teh, membuatkan Syazwan tersipu-sipu.

“ Awak ni Teh...ke situ pulak dia. Sudah-sudah, buat apa dok tercegat dekat depan pintu ni. Jom-jom meh masuk.” Sampuk Pak Mail.

 “ Bang Long, Angah, dah balik ka Mak? Adik Hana?” Soal Azhar sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

“ Dah...semua dah sampai. Mai mak nak keloi depa. Along!, Angah!, adik!, ni Abang Ad hang dah balik ni!” Laung Mak Teh.

“ Yeay yeay pak cik dah balik!”, kedengaran suara anak-anak Abang Long dan Kak Ngah bernyanyi riang menyambut kepulangan pak cik mereka. Lantas mereka mengerumuni kaki Azhar menyebabkan Azhar tak menang tangan melayan mereka. Syazwan yang sekadar memerhati hanya tersenyum menggeleng.

“ Pergi salam dengan kawan pak cik tu, cepat!”

“ Sapa nama uncle?” tanya si kecil Aina penuh ramah.

“ Panggil uncle, Uncle Wan ye. Yang muka comel-comel ni sape nama?” Soal Syazwan sambil mencubit pipi ngomel Aina. Aina yang baru berusia 5 tahun berpura-pura mengaduh sakit sambil memasamkan riak muka.Kemudian tersenyum riang apabila hidungnya dicuit oleh Syazwan.

“ Hensem tak kawan pak cik ni?” Soal Azhar kepada anak-anak saudaranya.

“ Hensem, hensem! Macam Ashraf Muslim”, sahut si kecil Aiman. Syazwan merona kemerahan. Pipinya diraba-raba. Mana ada, tak samalah!

“ Bukan, macam Ashraf Sinclairlah!” Amboi.

“ Fifi rasa macam David Beckhamlah!” MasyaAllah budak-budak ni. Syazwan memekup kedua-dua tangan ke wajahnya. Wajahnya terasa membahang. Sudah-sudahla tu. Buat malu aku aje.

Syazwan melihat ke sekeliling rumah. Rumah tradisional agam yang sangat cantik. Hiasan dalamannya sederhana ringkas, tetapi cukup menyenangkan. Tikar mengkuang melapisi lantai rumah dan di setiap penjuru rumah, temaram perang cahaya mentol benar-benar menghidupkan suasana kedesaan. Setiap jendela rumah dihiasi dengan ukiran flora yang begitu halus seninya. Sesaat, matanya tertancap pada wajah yang tiba-tiba menyusul di ruang tamu rumah itu. Membulat mata Syazwan.

“ Hana, ni kawan Abang Ad, Syazwan namanya” .Azhar menghalakan jari telunjuk ke arah Syazwan. “ Syazwan, ni adik aku, Farhana.”

Farhana mengangguk sekali. Tanpa sepatah kata, dia berlalu pergi meninggalkan ruang tamu. Syazwan terkesima.

                              *********************************************

Farhana tak tentu arah. Perasaannya libang-libu. Dia mundar-mandir di dalam biliknya. Penat berjalan ulang-alik, dia duduk pula di bucu katil. Namun tidak lama, Farhana kembali berkawat. Bagai orang gila lagaknya.

‘ Apa nak buat ni?’

Farhana jadi runsing. Kepalanya yang tak gatal digaru berkali-kali. Pertemuan dengan mamat seposen itu sebentar tadi benar-benar membuat Farhana hilang akal. Oh ya..mamat seposen tu ada nama, Syazwan kan? Dan yang pasti Syazwan juga tentu mengetahui namanya kini.

Farhana menghempapkan badan ke katil. Katil empuk itu ditumbuknya berkali-kali. Rasa malu, marah dan geram bercampur menjadi sebatian yang ampuh. Farhana membulatkan tekad, dalam keadaan seperti sekarang ini egonya juga harus ampuh. Tapi apa yang arus aku buat?

Bukk! Bukk!! Ketukan pintu bertalu-talu menyebabkan lamunan Farhana bersepai.

“ Hana!! Ada orang nak jumpa.” Terdengar teriakan Kak Ngah dari luar bilik.

“Sapa kak?”

“ Zaim, dia tunggu kat laman”. Sahut Kak Ngah.

                              **********************************************

Tatkala mata begitu lena dalam tidur yang pulas, Farhana terjaga dari tidurnya. Tidur lena yang hanya sekejap. Puas dicuba untuk melelapkan kembali matanya, namun tidak berjaya. Semuanya sia-sia. Semuanya kerana peristiwa lewat malam tadi.

“ Raya kedua nanti aku masuk minang hang”. Kata-kata Zaim itu menyentap Farhana.

“ Aku tak nak!”

“ Aku serius ni. Aku dah habaq pun kat mak, pak hang.”

“ Hang jangan main-main Zaim. Antara kita dah tak dak apa-apa dah."

“ Itu pada tanggapan hang. Pada tanggapan aku tak. Aku masih sayangkan hang.”

Farhana ketawa sinis. Kata sayang yang diucapkan Zaim terasa  seperti langsung tiada maknanya. Sebetulnya dia sendiri tidak faham dengan Zaim. Dulu, Zaim bermati-matian membuang dirinya untuk mendapatkan Marbella, seorang gadis kacukan yang menjadi rebutan para pemuda kampung. Zaim hanya menggunakan dirinya bagi mendapatkan Marbella yang juga teman baiknya, dan dirinya yang menanggung derita. Kini, setelah Marbella terkorban dalam satu kemalangan jalan raya setahun yang lalu, Zaim kembali menagih kasihnya. Memang dasar lelaki!

“ Jangan guna perkataan sayang kalau hang sendiri tak faham maknanya! Dulu hang jugak yang kata aku ni bukan jenis taste hang. Sayang hang hanya pada Marbella. Hang buang diri aku, hang pergunakan diri aku, sedangkan hang dah beri harapan pada aku. Aku terluka hang tau dak?”

“ Sebab tu aku nak tebus kembali kesilapan aku yang lalu. Aku yakin hang jugak masih ada perasaan dekat aku.”

Farhana menggeleng-geleng spontan. Air hangat mula terasa membasahi pipi.

“ Habis tu, hang nak jilat balik ludah hang? Aku tak akan jilat balik ludah aku! Antara kita dah tak dak apa-apa dah!” Suara Farhana meninggi. Menggigil-gigil menahan marah. 

Segera dia berlalu ke dalam rumah meninggalkan Zaim yang terkebil-kebil.

                                 **********************************************

‘ Beres’

Farhana melangkah keluar dari kedai runcit dengan girang. Tangan kanannya menjinjing satu beg plastik beirisi ubi keledek, manakala sebelah kirinya pula menjinjing beg plastik berisi kulit popiah. Semuanya untuk dibuat kuih Samosa, hidangan wajib keluarganya setiap kali menjelang Aidilfitri.

Baru separuh perjalanan ke rumahnya, langkah Farhana terhenti apabila sebuah motorsikal menghalang laluannya.

“ Hang nak apa ha?”

“ Jom, abang hantaq balik rumah”. Zaim menghulurkan helmet kepada Farhana.

Abang? Farhana hampir nak termuntah. Mulutnya dipekupkan.

“ Ambik helmet ni. Kesian abang tengok dia jalan sorang-sorang. Nasib baik abang datang tolong.”

“ Tak payah! Aku boleh jalan sendiri.”

“ Jomla, tak kan abang nak biaq bakal tunang abang jalan kaki saja? Apa guna ada bakal tunang tapi dia biaq tunang dia jalan kaki kan?” Zaim mengenyitkan mata ke arah Farhana.

Farhana menghempaskan beg plastik berisi ubi ke tanah. Amarahnya bagai dilapah, geramnya bukan kepalang.

“ Untuk pengetahuan hang, aku tak akan pernah terima hang, dan hang tak akan pernah jadi tunang aku, apatah lagi suami aku. Hang paham dak? Dan kalau pun aku memerlukan bantuan, dan sekalipun semua lelaki di atas dunia ni dah mati dan tinggal hang saja yang terakhir, aku tetap tak akan terima bantuan dari hang!”

Segera Farhana menahan sebuah motorsikal yang kebetulan melalui denai kampung. Kebetulan pula, motorsikal itu ditunggang bersendirian oleh Syazwan yang sedang bersiar-siar di kawasan perkampungan itu. Motorsikal itu pula dipinjam daripada Pak Mail yang dari pagi lagi sudah masuk ke hutan untuk mencari buluh bagi membuat pelita minyak tanah.

Syazwan berasa pelik melihat kelibat Farhana yang sedang melambai-lambaikan tangannya seperti memberi isyarat agar dia berhenti. Akhirnya diberhentikan juga motorsikal itu betul-betul di hadapan Farhana.

“ Saya nak tumpang awak. Hantar saya balik rumah!” Tanpa segan silu Farhana memberi arahan.

Syazwan menggaru-garu belakang telinganya. ‘ Apa kes ni?’. Hati kecil Syazwan mendesis. Matanya dilirikkan pula ke arah Zaim. Tertanya-tanya dia siapa pula gerangan lelaki itu. Segera Syazwan menghadiahkan senyuman singkat ke arah Zaim, tetapi Zaim membalasnya dengan renungan tajam seolah-olah ingin menerkamnya.

Tanpa disuruh, Farhana terus menaiki belakang motorsikal Syazwan.

“ Farhana, aku kata naik dengan aku!”

Zaim yang bagai orang gila cuba menarik lengan Farhana, namun segera ditepis oleh gadis itu. Terjelopok Zaim di lantai tanah merah setelah ditolak kasar oleh Farhana.

 Bahu Syazwan ditepuk sekali. “ Lekas!” Jerit Farhana.

Tanpa berlengah, Syazwan terus memecut motorsikal itu meninggalkan Zaim yang masih terkial-kial untuk bangun. Selajur mereka berlalu, Zaim bangun sambil menumbuk-numbuk ke udara. Wajahnya membahang.

                        *******************************************************

Syazwan membuang pandangan ke halaman rumah agam itu. Kelihatan kanak-kanak sedang riang bermain bunga api. Pelita buluh yang dibuat Pak Mail menerangi laman. Lampu-lampu kelip-kelap berwarna-warni yang digantung di anjung rumah tambah menceriakan suasana. Sungguh, Syazwan berasa bahagia. Suatu perasaan aneh yang belum pernah dinikmatinya sebelum ini.

“ Hang dok termenung apa tu Wan?” Lamunan Syazwan bersepai.

“ Owh..Pak Mail. Tak ada apa-apalah Pak Mail, saya seronok tengok budak-budak tu main”

“ Ka dok teringat gepren kat Kolompo tu?” Duga Pak Mail sambil menderai tawa. Syazwan memicing pandangan ke arah Pak Mail. Dia kurang faham loghat yang dituturkan Pak Mail sebenarnya. Terjungkit sebelah kening kirinya ke atas.

“ You don’t ada girlfriend at Kolompo bah?” Tutur Pak Mail dalam broken English campur loghat Sabah pula.

Syazwan menepuk dahinya setelah memahami soalan Pak Mail. Seketika mereka berduet pula mengeluarkan tawa.

“ Tak adalah Pak Mail, saya mana ada gepren-gepren ni lagi”

“ Pak cik tengok hang ni bukan tak segak, memang segak. Macam bintang filem Hong Kong pun ada pak cik tengok hang ni.  Tak kan tak dak orang bekenan kot?”

Syazwan menggelengkan kepala. “Saya tak pandailah Pak Mail bab-bab macam ni. Lagi pula, orang macam saya ni...sapa yang hendak.”

“ Alah apa susah, Farhana tu…” Pak Mail mengenyitkan matanya.

Syazwan menggaru-garu kepalanya. ‘Apa kes? Tiba-tiba pula Farhana?’

                          ******************************************************

“ Kak Hana! Kak Hana!” Tutur si kecil Aiman termengah-mengah.

“ Ya..ya..ha kenapa ni Aiman? Kenapa dok lari-lari ni?” Soal Farhana sambil menggoreng kuih Samosa yang baru siap dibalut petang tadi.

Anak kecil berusia tiga tahun setengah itu menghulurkan satu beg kertas kepadanya. Dalamnya berisi sehelai selendang Pashmina yang sangat cantik. “ Uncle Wan yang suruh Aiman bagi dekat kak Hana.”

Farhana tak percaya. Kenapa pula Syazwan ingin menghadiahkan sehelai selendang kepadanya? Sedangkan dia juga sedang berpantang arang dengan lelaki itu, seperti mana dia berpantang arang dengan Zaim. Tetapi entah mengapa, sejak akhir-akhir ini dia senang pula dengan kehadiran lelaki itu. Selendang itu ditatapnya lama kemudian dialihkan ke bibirnya, lalu dicium. Satu senyuman diukirkan.

“ Ooo..Kak Ana suka dekat Uncle Wan ye..” Usik si Aiman membuatkan Farhana tersipu-sipu.

“ Sudah, sudah…pi main dekat luaq tu. Kak Hana banyak kheja nak buat ni.” Selendang itu diletakkan di atas meja, kemudian dia berpura-pura sibuk kembali di kuali. Si kecil Aiman yang masih tersenyum nakal akhirnya berlalu meninggalkan dapur.

“ Boleh saya tolong?”

Satu suara menyapa dari belakang. Farhana menoleh sekilas. Serasa jantungnya berdetar kencang saat wajah Syazwan mengisi ruang mata. Entah mengapa nafasnya bagai tercungap-cungap. Seolah-olah oksigen sudah berhenti mengalir ke paru-paru. Segera Farhana memberikan senduk kepada Syazwan.

“ Mesti sedapkan kuih Samosa ni”. Syazwan berbasa-basi.

“ Awak rasalah sendiri. Mak yang buat. Saya tolong goreng saja”.

Farhana tidak dapat memandang lama-lama pandangan redup Syazwan. Kenapa kau pandang aku macam itu wahai lelaki? Kau nak mengorat aku ke hah?

Syazwan menjemput sedikit kuih Samosa. Memang sedap. Lebih sedap daripada kuih yang dijual di bazaar Ramadhan Wangsa Maju.

“ Awak suka selendang tu?” Soal Syazwan.

Farhana mengangguk. “Suka.” Jawabnya sepatah. Antara dengar dan tak dengar sahaja nada suaranya.

“ Kalau awak suka, pakailah time raya esok.”

“ Ya...tengoklah macam mana. Suka dengan selendang tu.”

“ Saya pula...sukakan awak.”

Farhana membulatkan matanya. Spontan memandang wajah Syazwan di sisi.

“ Saya suka awak.” Kata Syazwan lagi sebelum berlalu pergi meninggalkan dapur.

Dan Farhana terkesima.

                          ******************************************************

Laungan takbir bergema menandakan ketibaan Syawal. Pagi itu, usai solat Aidilfitri di surau berhampiran, menjadi tradisi keluarga Azhar untuk berkumpul beramai-ramai untuk bermaafan bersama. Syazwan tidak terkecuali. Momen indah yang tak mungkin dilupakannya. Sampai bila-bila.

Entah mengapa, hari yang bahagia dan penuh kerahmatan ini, tidak sedikit pun menggembirakan hati Farhana. Jemarinya ligat bermain-main kuih Samosa di atas piring. Fikirannya melayang entah kemana-mana. Kuih Samosa yang digerit sebentar tadi, dikunyah lambat-lambat. Lama dikunyahnya, akhirnya Farhana mendapatkan bantuan air untuk menelan kuih Samosa itu.

“ Hang kenapa ni?” Soal Kak Ngah sambil mengetuk-ngetuk meja. Farhana tersentak dari lamunan.

“Ha?”

“ Hang tak dengaq ka akak panggil sampai berbuih mulut ni? Kenapa ni anak dara dok melangut macam ni? Pagi-pagi raya pulak tu. Tak baik la..” , leter Kak Ngah lagi.

“ Tak dak apa-apalah Kak Ngah. Adik nak pi toilet dulu.” Farhana meninggalkan meja makan. Kak Ngah hanya menggelengkan kepala.

Farhana menguak pintu tandas. Tidak semena-mena wajah Syazwan mengisi ruang mata. Syazwan sedang tersenyum ke arahnya.

“ Arrgggggghhhh!!!!!”

Farhana menjerit lantang. Namun kelibat Syazwan terus menghilang selepas itu.

“ Apasai ni Hana?” Soal Kak Ngah sedikit cemas.

“Erm..” Farhana menggaru-garu kepalanya. “ Hana nampak tikus tadi”. Farhana menampar-nampar pula pipinya. Dia tak percaya. ‘Angaukah aku pagi-pagi raya macam ni?’

                    ******************************************************

Hari raya kedua menjelma. Seperti yang dijanjikan, Zaim menghantar rombongan untuk meminang Farhana. Namun ditolak dengan baik oleh Pak Mail dan Mak Teh setelah Farhana berkeras untuk tidak menerima pinangan tersebut. Kata Pak Mail, apa boleh buat, tuan punya badan sendiri yang tak mahu. Dia faham benar dengan sikap keras kepala anak bongsunya itu. Sedari kecil lagi Farhana memang seorang yang degil. Kalau sudah bulat katanya, maka bulat jugalah keputusannya.

Farhana duduk menyandar di sofa. Satu keluhan berat dilepaskan. Lega. Satu masalah selesai. Pundaknya terasa sedikit ringan. Tetapi masalah yang satu ini belum juga selesai. Malah makin mengkusutkan dirinya. Malah makin memborgol jiwa dan raganya. Entah. Farhana sendiri tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini bayangan Syazwan sering bermain di depan tubir mata. Mengenangkan lelaki itu, jiwanya disimbah gelora. Terasa pandangan redup lelaki itu perlahan-lahan mengalir turun ke lubuk hatinya, dan meninggalkan rasa hangat di situ.

‘Saya suka awak’. Masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Syazwan pada malam raya tempoh hari.

“Ha!!” Bahu Farhana ditepuk.

“Opocot, mak hang Syazwan terjatuh”. Tak semena-mena Farhana melatah.

“ Kak Ngah!! Buat Hana terkejut saja tau. Iee...Jahat!” Farhana menampar lengan Kak Ngah.

“ Hai, semalam termenung, pagi ni pun termenung lagi. Pasaipa ni?” Kak Ngah menggeleng-gelengkan kepala. Farhana hanya tersengih.

“ Ni yang dok pi sebut nama Syazwan tu awatnya?” Kak Ngah mengerling nakal.

Farhana menepuk dahi. Alamak kantoi! Kak Ngah dengar rupanya. “ Mana ada..Kak Ngah ni pandai-pandai saja tau!” Farhana tersipu-sipu. Berpura-pura tergelak kecil.

Mak Teh yang tiba-tiba datang menghentikan gelak tawa mereka. Dihulurkannya sepasang kurung putih satin kepada Farhana. “Nah Hana, pakai baju ni malam ni”

“Awatnya mak oi?” Farhana berasa pelik.

“ Malam ni special sikit. Ada tamu nak mai rumah. Pakai saja. Jangan banyak songeh”. Tukas Mak Teh lagi.

                                   **************************************

Farhana berhias ala kadar sahaja. Sedikit bedak kompek dioles nipis ke wajahnya. Gincu merah maroon jenama Simply Siti dicalit sedikit ke bibir. Selendang Pashmina yang diberi Syazwan dililit dan diikat kemas menutupi rambutnya. Selesai. Farhana bergegas ke ruang tamu rumah.

Tiba di situ, Farhana berasa pelik. ‘Apasal semua orang ni? Semua pakai segak-segak. Macam pagi raya pulak dah. Apasal tengok aku semacam?’ Farhana melabuhkan punggungnya di atas sofa, bersebelahan dengan Kak Ngah. Dilihatnya, Along dan abang Azharnya juga masing-masing segak berbaju melayu hijau. Pak Mail pula segak dengan baju melayu kuning satin. Duduk bertentangan dengan Pak Mail adalah seseorang yang tak dikenali Farhana. Juga segak berbaju melayu kuning.

Syazwan?

Farhana seakan tidak percaya. Syazwan memakai baju melayu satin yang sedondon warnanya dengan baju kurung yang dipakainya kini. Siap dengan songket hitam lagi sebagai sampinnya.

“ Baiklah, kalau semua dah sedia saya akan mulakan.” Jejaka yang duduk bertentangan dengan Pak Mail itu memulakan bicara. Pak Mail dan Mak Teh mengangguk setuju.

“ Pertama sekali, perkenalkan, saya Muhd Azizi, merupakan teman serumah kepada pria kita malam ini, Muhd Syazwan Lampisung bin Lujirin. Dan seperti yang semua sedia maklum, kedatangan saya malam ini adalah bagi menyunting bunga di rumah Pak Mail ini bagi pihak kawan saya, Syazwan.” Ucap Azizi penuh hemah dan santun.

Jantung Farhana bergetar kencang. ‘Apa ni? Kenapa aku tak tahu pun?’

“ Bagi kami di pihak perempuan, tak menjadi masalah sebenaqnya. Tapi, lebih molek rasanya kalau kita bertanya sendiri dengan tuan empunya badan.” Balas Pak Mail.

Semua mata kini menumpu ke arah Farhana. Farhana terkejut. ‘ Akukah bunga itu?’ Farhana berbicara sendiri.

Mak Teh mencuit bahu Farhana. Farhana ragu-ragu. “ Kalau betullah Syazwan adalah kumbang yang dimaksudkan, saya setuju!” Namun hanya bibirnya yang bergerak-gerak, suara Farhana seakan terlekat di kerongkong. Akhirnya Farhana hanya diam membisu.

“ Kata orang, diam tandanya setuju?” Bang Long tiba-tiba mencelah.

“ Kira jadilah ni ye?” Azizi menyoal. Pak Teh dan Mak Teh mengangguk setuju.

Syazwan menadah tangan bersyukur kepada Yang Esa.

***********************************************

Kuih Samosa yang dikunyah ditelan laju. Syazwan membuang pandangannya ke sungai yang mengalir lesu. Angin nyaman kampung bertiup-tiup membuatkan rambutnya berombak-ombak.

“ Sekejap saja cuti kan? Tak sangka esok dah kena balik KL.”

Syazwan memulakan bicara setelah hanya sepi menemani mereka. Farhana pula hanya mengangguk mendengarkan bicara Syazwan. Keadaan diam seketika. Syazwan kembali menyambung bicaranya.

“ Terima kasih Hana sebab sudi terima saya sebagai tunang awak.” Syazwan memandang Farhana. Kalau bukan kerana batasan hukum, dah lama tangan Farhana disentuhnya.

“ Saya sayang Hana sangat-sangat”

Berdebar hati Farhana mendengar luahan hati Syazwan.  Teragak-agak mulutnya untuk mengatur bicara.

“ Hana pun...sama” Farhana menunduk malu. Kuih Samosa di tangannya sengaja dikunyah bagi menyembunyikan gemuruh di hati.

“ Ewah-ewah, bukan main lagi no!”

Farhana dan Syazwan menoleh kebelakang. Mereka segera berdiri. Tegelatak panar mereka mendengar pekikan itu.

“ Aku tak sangka jantan ni yang hang pilih Hana. Apa kurangnya aku?” Entah dari mana Zaim tiba-tiba muncul.

“ Jangan ganggu aku Zaim. Aku dengan hang dah tak dak apa-apa dah. Aku dah jadi milik orang!”

Zaim tiba-tiba ketawa. “ Selagi hang dengan jantan tak guna ni belum kahwin, hang bukan milik sapa-sapa pun!”

Zaim menarik kasar tangan Farhana ke arahnya. Farhana meronta-ronta. “Lepaskan aku! Lepaskan aku!”

“ Lepaskan dia!!!”. Syazwan menjerit cemas.

“ Hang jangan dekat bro!!!” Zaim mengacah-acah pisau di leher Farhana, menyebabkan Farhana terjerit bagai histeria.

Syazwan semakin cemas. Kaget. Hendak diterkamnya Zaim, nyawa Farhana kini ditangannya. Syazwan mengucap panjang.

“ Mengucap Zaim. Mengucap! Kau tahu apa yang kau buat ni?”

“ Aku peduli apa!” Zaim melirikkan hujung pisau di wajah Farhana. Sebelah tangannya erat mencengkam Farhana. “ Sekarang hang jadi milik aku! Milik aku!!” Zaim ketawa bagai orang gila.

Farhana mengumpul kekuatan. Perut Zaim disiku dan kakinya dipijak sekuat hati. Cengkaman Zaim terlerai, lantas Farhana menolak tubuh Zaim kebelakang. Serta merta Syazwan menerkam Zaim. Berlaku pergelutan antara mereka berdua. Sehingga pisau di tangan Zaim terlerai lalu menghempas ke tanah.

Farhana tergamam.

Zaim masih belum berputus asa. Dengan kudrat kakinya, Zaim menendang Syazwan. Tendangan padu itu menyebabkan Syazwan terdorong kebelakang. Zaim menyerang lagi. Tumbukan dan tendangan bertali arus dihalakan ke arah Syazwan. Syazwan mengelak. Menangkis. Tetapi Syazwan kurang bersedia. Tiba-tiba sahaja Zaim mengangkat kaki kanannya, melakukan tendangan kilat dan tepat mengenai kepala Syazwan. Syazwan terpelanting kebelakang lalu jatuh menghempap batang pokok. Kepalanya terhantuk pada seketul batu besar. Darah merah mengalir laju. Syazwan lemah dan tak berdaya.

Farhana panik. Dilihatnya Zaim mencapai pisau yang jatuh sebentar tadi. Tekaannya tepat.

“Tidak!!!”

Farhana cuba menghalang Zaim daripada menerkam Syazwan.

“Arghhh!!!”

Darah merah memercik laju. Satu kepala terkulai layu.

Zaim bergegas melarikan diri.

                                *******************************************

Keadaan di luar bilik pembedahan kelihatan tegang. Wajah ahli keluarga Farhana semuanya kelihatan cemas. Azhar tidak duduk diam. Sekejap duduk, sekejap berjalan, jelas raut resah pada wajahnya.
Seketika, sebuah katil ditolak oleh petugas hospital dari hujung koridor. Selimut putih menutupi rapat wajah pesakit. Tangisan seorang wanita separuh abad mengiringi pesakit. Seorang lelaki tua yang lain pula turut mengiringi bersama dengan wajah yang sayu.

“ Kau perempuan sial! Sebab kau anak aku mati. Kau sial!!” Jerit wanita separuh abad itu. Mencerlung anak matanya menahan marah.
Farhana terkejut. Air matanya yang merembes keluar diseka. Wanita itu terus menghampiri Farhana.

“Perempuan sial!!” Tudung Farhana ditarik-tarik. Farhana bergelut untuk melepaskan diri.

“ Mengucap Nab, mengucap!!” Lelaki tua itu cuba mententeramkan isterinya.

“ Biar saya ajar perempuan sial ni bang! Sebab dia Zaim mati accident! Apa, kau ingat aku hadap sangat nak jadikan kau menantu? Menyesal aku pergi meminang kau hari tu!” Puan Zainab masih tak puas hati. Farhana menangis dalam pelukan Kak Ngah.

“ Sudah!! Saya cakap sudah!! Ajal mautkan di tangan tuhan?” Marah lelaki tua itu kepada isterinya.

“ Farhana, pak cik minta maaf. Pak cik tahu bukan salah kamu.” Ucap lelaki tua itu.

Farhana hanya mengangguk tanda memahami. Cuma dia tidak menyangka Puan Zainab mahu menyalahkan dirinya pula di atas kematian Zaim. Sedangkan Zaim dilanggar sebuah lori ketika melarikan diri selepas kejadian semalam. Tidak ada kaitan dengan dirinya.

“ Dah la tu Talib, kami paham. Bawak balik Zainab tu dulu. Uruskan mana yang patut.” Pak Mail menepuk-nepuk belakang Pak Talib.

Pintu bilik pembedahan dikuak. Seorang doktor muda keluar diiringi oleh dua orang jururawat. Kelihatan manik-manik jernih menghiasi dahi doktor itu.

 “Bagaimana keadaan pesakit?” Soal Azhar.

Doktor muda itu melepaskan keluhan berat. Wajah setiap orang yang berada di hadapannya diperhatikan satu persatu. Berat hatinya untuk membuka mulut menerangkan keadaan sebenar.

“Kami sudah berusaha sedaya upaya. Tetapi…”

                             ***********************************************

Seminggu berlalu...

“ Tak sedaplah makanan hospital.”

“ Jangan mengada-ngada. Cepat makan ni.” Farhana menyuapkan sesudu nasi ke dalam mulut Syazwan.

“ Saya mengidamlah..”

Farhana buat-buat tak tahu.

“ Saya mengidam kuih Samosa la”. Syazwan membuat muka simpati pula.

“ Doktor cakap orang sakit tak boleh makan Samosa.”

“Iye ke…kalau macam tu saya nak mengidam benda lainlah.”

“ Banyak songeh pulak dia. Mengidam apa?”

“ Mengidam..erm..mengidam Hana.” Matanya dikenyit nakal.

Farhana menumbuk-numbuk dada Syazwan. “Iee.. Gatal!”

Syazwan mengaduh sakit.“ Mana aci pukul orang sakit. Saya bagi tau doktor kang..”

“ Ha, panggillah doktor. Boleh saya suruh doktor tu inject awak, biar kurang sikit penyakit miang awak tu.”

Syazwan gelak besar.

“ Alah, apa salahnya. Saya miang pun dengan awak jugak. Bukan dengan orang lain.”

Farhana mencebik. “ Dahlah, malas nak layan awak .” Farhana mengangkat punggung.

“ Eh, nak ke mana tu? Tak kan merajuk kot?” Ulah Syazwan lagi.

“ Saya nak pergi panggil nurse yang garang kat luar tu. Suruh dia yang suapkan awak. Itulah, dapat nurse yang baik macam saya ni nak mereyam pulak dia.” Sindir Farhana.

Farhana berlalu keluar meninggalkan bilik hospital. Kemudian bersandar di pintu bilik itu. Dia tersenyum sendiri. Selaksa bahagia, secuil asa bersulam indah. Alhamdulillah. Farhana memanjatkan kesyukuran. Syukur kerana bukan Syazwan yang menjadi korban. Syukur kerana Syazwan hanya koma selama seminggu sahaja. Dan kini setelah beberapa hari, Syazwan semakin pulih sepenuhnya. Syukur kerana Syazwan adalah cinta hatinya kini.

 ‘ Syukur ya Allah, kerana mempertemukan jodohku dengan dia, dan semoga KAU panjangkan jodoh kami ke akhirnya’, dalam hati, Farhana bertahmid dan berdoa.

-   TAMAT   -    

copyright: Billyzulkarnain
nukilan: adli

p/s: sedap tak kuih samosa? hehe...selamat berpuasa dan Salam Aidilfitri. Minta maaf zahir (sahaja).

19 comments:

  1. bestlah! klaka gila!

    ReplyDelete
  2. sweet..tapi loghat sabah tu nampak x real sgt la..kalo real, mesti lagi cun..

    ReplyDelete
  3. to all: thanks! harap korg enjoy. selamat berpuasa dan tak lupa, selamat hari raya!

    to KinosKoko: ha'ah, mmg cm x real kan loghat sabah tue? sebenanya main hentam saja tue..nak kena buat more homework lagi laa mcm ni.

    ReplyDelete
  4. mmg best.gempak siot! mu berbakat!

    ReplyDelete
  5. like3..menanti cerpen seterusnya..teruskan menulis..

    ReplyDelete
  6. seniora: tenkiu2..da lama x mengarang sebenarnya. insy akn menyusul beberapa cerpen lg lps ni..tima kasih sb membaca.oh ya, kalu nk tahu karya ni dan karya2 yg lain jugak dh dipublish di penulisan2u..

    ReplyDelete
  7. owh..ya? i.Allah, lau da masa nnti bole la bc cerpen2 lain kat penulisan2u nnti..

    ReplyDelete
  8. mm..mula2 cam bosan..
    p perkmbgan cite semakin menarik & menarik...=)

    ReplyDelete
  9. seronok la baca cerpen ni :D Good Job abg! :)

    ReplyDelete
  10. Dzathunithaqain: thanks sebab baca! i.Allah akan diperbaiki dr semasa ke semasa

    ReplyDelete
  11. Wyna Nubies: tenkiu Wyna. ni yg lg semangat nk menulis nie..hehe

    ReplyDelete
  12. The BEST...hahahaxD...ske yang nieyh gile2

    ReplyDelete
  13. hai abang billy.... (geli tekak) hahaha... best3 citer ini. sudah lama rupanya sy tidak membaca cerpen dan novel. huhu...
    all the best for both of us! (hahaha) keep up the good work! (act aku x reti nk komen lebih2 cm org lain dok komen aku, serius) ^o^

    ReplyDelete
  14. hai oppa(jgn2 billy ni lebih muda dari sy)hehe. nice story.like it!~

    ReplyDelete