Monday, June 13, 2011

I Think I Love You : Bab 8



Aku tidak terus pulang ke rumah. Aku singgah sekejap di Masjid Sultan Zainal Abidin yang lebih dikenali sebagai masjid besi, mercu tanda terbaru Putrajaya untuk menunaikan solat Asar. Usai solat Asar, aku membuat keputusan untuk mengambil angin di sekitar tasik Putrajaya.

Setelah lama berjalan di persisiran tasik, aku ambil keputusan untuk duduk di bawah pohon palma yang menghadap kawasan tasik.

Aku merenung air tasik dengan pandangan kosong. Keadaan tasik yang tenang, langit membiru dan awan putih yang berambalan di kaki langit berserta angin yang membuai sesepoi bahasa seolah bertentangan dengan gejojak di hati aku kini. 

Aku tak pasti, antara rasa marah, rasa bersalah, rasa sedih dan rasa kecewa, yang mana satu lebih merajai hati. Kalau diikutkan rasa bersalah terhadap Norman, tentunya rasa itu tidak sehebat rasa marah terhadap Akmal. Kalaulah pertemuan sebentar tadi tidak berlaku...tentunya perkara serumit ini tidak akan terjadi. 

"Dik...!" Terasa bahuku disentuh.

Lamunan panjangku bersepai. Aku menoleh. Kelibat seorang wanita separuh abad mengisi ruang mata. Sedang tersenyum ke arahku yang sedang bercemberut ini. Sapa pulak orang tua ni?

Tanpa berfikir panjang aku terus mencapai tas tangan aku. Dua keping not RM 1 dikeluarkan. Sejurus dihulurkan kepada wanita tua itu. Aku dah masak sangat. Kalau datang dengan muka tersengih macam ni tak lain tak bukan mesti nak minta dermalah kan. 

"Nah derma ikhlas.."

Namun huluran tangan aku tidak bersambut. Sebaliknya aku lihat wanita tua itu menggaru-garu kepalanya. Gatalke kepala tu?

" Astaghfirullahalaziiim dik oi. Mak cik ni nampak macam peminta sedekah ke?" Soal wanita itu.

Aku lihat wanita itu merenung aku dengan tajam.

Aku terperangah. Habis tu kalau bukan nak mintak sedekah, apa lagi? Aku bersoal sendiri.

"Mak cik ni memanglah miskin dan nampak susah, tapi bukanlah sampai tahap nak minta sedekah dari orang lain. Selagi tulang empat kerat mak cik ni masih mampu, mak cik tak akan sekali-kali hidup dengan menagih ihsan orang lain."

Lembut wanita tua ini bertutur, tetapi terasa panas ditelingaku. Aku menundukkan pandangan. Ternyata aku telah tersalah tanggapan.

"Saya minta maaf mak cik. Saya ingatkan..."

Belum sempat aku menghabiskan ayat, wanita tua itu menyampuk terlebih dahulu...

"Takpelah dik oi, mak cik tak kisah pun. Mak cik yang sepatutnya minta maaf sebab kacau kamu. Mak cik tengok kamu ni macam ada masalah saja. Dari tadi termenung."

Aku lihat wanita tua itu melabuhkan punggungnya di kerusi konkrit bertentangan dengan aku. 

Aku membetulkan duduk. Kening kanan dan kiriku bertaut. Macam tau-tau pulak aku ni tengah ada masalah. Dan  dari mana pulak dia tahu aku asyik termenung? Aku kena skodeng ke? 

" Mak cik ni kerja dekat sini. Kerja cleaner sapu sampah saje pun. Dari tadi mak cik menyapu dekat sini, sampailah sekarang dah tukar uniform dah nak balik rumah dah pun, mak cik tengok kamu masih dekat sini. Termenung. Sekejap-sekejap menangis. Kamu ada masalah ke?" Soal wanita itu lagi.

Aku memandang tepat ke arah wanita tua itu. Aku menangis? Bila pulak aku menangis?

"Kalau ada masalah, boleh berkongsi dengan mak cik."

Aku lihat dahi wanita itu berkerut, seolah-olah sedang menantikan bicara dari aku. Ihsan aku mengatakan bahawa wanita ini adalah seorang yang baik, namun aku belum bersedia untuk berkongsi masalah aku, apatah lagi dengan seseorang yang belum aku kenali. Lantas aku hanya menggelengkan kepala sambil menundukkan wajah. 

 
"Nampaknya betullah kamu tengah ada masalah kan?" 


Aku memanggung kepala kembali, memandang wanita itu. Nampaknya wanita ini benar-benar memahami gelojak perasaan yang aku hadapi kini. 


"Saya...", akhirnya aku bersuara "....tak apa-apalah mak cik. Saya...Syafiqah."


Aku menghulurkan tangan. Sambil itu seulas senyuman cuba diukirkan sebaik mungkin. Yang aku pasti, senyuman itu adalah senyuman yang hambar. 


Teragak-agak wanita itu menyambut huluran tangan aku.


"Mak cik...Azizah, tapi dah biasa orang panggil Zizah."


Aku hanya tersenyum, sedangkan wajah Mak cik Azizah masih ada riak kerisauan.


"Erm, kamu ni betulke tak apa-apa? Mak cik bukan apa, takut pulak nanti kamu pergi terjun tasik tu. Sekarang ni macam-macam kes orang bunuh diri. Itu sebab mak cik datang tegur kamu ni."


Aku menepuk dahi.


" Astagfirullahhalazim mak cik, saya belumlah lagi sampai ke tahap tu. Lagi pun benda macam tu kan berdosa besar!"


" Baguslah kalau kamu fikir macam tu. Mak cik ni cuma beringat saja, sebab 2 minggu lepas ada kejadian orang terjun tasik. Bila tengok kamu tadi, mak cik ingat kamu pun nak terjun sama tasik tu!" Ujar Mak cik Azizah lagi sambil diiringi ketawa kecil.


Aku hanya menggeleng-geleng perlahan. Entah mengapa aku dapat merasakan kemesraan dengan wanita ini. Memandang wajah mak cik Azizah seolah mengingatkan aku kepada ibu di kampung. Seolah yang berada di hadapanku kini adalah ibu aku sendiri.


"Orang zaman sekarang ni kebanyakannya pendek akal. Baru sedikit masalah, bila dah tak boleh nak pikul, terus cari jalan singkat-bunuh diri! Jangankan nak masuk syurga, cium bau syurga pun belum tentu dapat!" Tempelak Mak cik Azizah lagi. 


Aku mengangguk, tanda mengiakan kata-kata Mak cik Azizah. 


" Yang kamu ni terhangguk-hangguk, apa pula masalah kamu?" Soal Mak cik Azizah lagi, entah untuk keberapa kali sudah.


Aku menggigit bibir. Perlukah aku bercerita tentang masalah aku?




*************************

Sampai sahaja di rumah, aku terus mengurung diri di dalam bilik. Ajakan teman serumah aku; Tirah, Syifa dan Syada untuk makan malam di restoren mamak di bawah apartment, ditolak dengan baik. Alasan aku, aku masih kenyang dan sudah tidak berselera untuk makan. Sedangkan aku berbohong!


Sejak kejadian tengah hari tadi di Alamanda, sehinggalah sekarang, perut aku masih belum menjamah apa-apa makanan. Perut aku memang kosong, tetapi anehnya, aku langsung tak terasa lapar. 


Aku berbaring di atas katil. Sebiji bantal berbentuk Spongebob dibawa ke dalam dakapan. Pandangan ditala ke arah kipas siling yang ligat berputar. Seiring, fikiran aku turut berputar mengingati kata-kata Mak cik Azizah pada petang tadi. Dan perlahan-lahan bantal Spongebob dibenamkan ke wajah.


" Yang kamu ni terhangguk-hangguk, apa pula masalah kamu?" Soal Mak cik Azizah lagi, entah untuk keberapa kali sudah.


Aku menggigit bibir. Perlukah aku bercerita tentang masalah aku? Rasanya masalah aku tidaklah sebesar dan serumit manapun. Hanya aku yang beremosi berlebih-lebihan. Dan sekali lagi aku hanya menggelengkan kepala.


" Takpelah kalau kamu tak nak kongsikan masalah kamu tu. Cuma nasihat mak cik, walau sebesar manapun masalah kamu tu, kena ingat yang Allah sentiasa ada di sisi kita. Allah menduga kita berdasarkan kemampuan kita, sejauh mana tahap keimanan kita kepada-Nya. Jadi jangan cepat berputus asa dan jangan terburu-buru. Yang penting usaha, doa dan tawakal." 


Kata-kata Mak cik Azizah itu betul-betul meresap ke tangkal hatiku.

" Masalah saya, cuma masalah salah faham saja..." akhirnya aku membuka mulut juga. Mula bercerita serba sedikit tentang masalah aku. 


Mak cik Azizah tersenyum nipis.


"Salah faham kalau tak dijelaskan, salah tafsiran kalau tak dinilai, salah tanggapan jadinya, maka makin membelitkan dan sampai bila-bilapun tidak ada penyudahnya." 


Aku membuka mata. Bantal Spongebob dialihkan dari wajah. Selajur aku bersandar di hujung katil. Kata-kata Mak cik Azizah itu masih terngiang-ngiang ditelingaku. Ihsan aku melepaskan keluhan berat, namun amat lancar pada pertimbanganku. 

Aku membuat keputusan. Benar, jika aku tidak bertindak, sampai bila-bilapun masalah ini tidak akan selesai. Aku rasa aku perlu untuk menerangkan hal yang sebenarnya kepada Norman. Aku tidak mahu Norman tersalah anggapan. 

Lantas aku mencapai handset dari tas tangan, lalu aku dail nombor telefon Norman. Aku dengar bunyi ‘tut’ dari jauh. Aku tunggu panggilan dijawab dengan penuh debar. Dalam hati aku merangka pelbagai dialog, menyusun ayat untuk menerangkan hal yang sebenarnya.

Dua puluh saat berlalu. Panggilan terputus. Aku dail lagi sekali. Masih sama, panggilan tidak dijawab. Aku dail buat kali ketiga. Pun sama. Aku belum berputus asa. Aku dail buat kali ke empat. Kali ini operator yang menjawab.

Please try later’

Disusuli dengan bunyi engage selepas itu.

Aku putus asa. Aku tahu, Norman sengaja offkan handsetnya. Aku raup tangan ke wajah. Ini ikhtiar terakhir aku. Aku berharap agar Norman akan faham setelah membacanya nanti. Aku taip mesej untuk menerangkan hal yang sebenarnya. Berjela-jela panjangnya. Setelah yakin dan berpuas hati, aku menekan butang ‘send’.


Ya Allah, jauhkanlah kami dari sebarang syak wasangka yang buruk, perkara yang sesat lagi menyesatkan, dan peliharalah hubungan kami di bawah lembayungMu, wahai Tuhan yang memperkenankan doa..’

Dalam hati aku berdoa.....


bersambung....(minta maaf entri kali ini pendek)

10 comments:

  1. aku nak marah gak. hahahha! (aku fhm klu idea dh kering mmg lmbt nk dibasahkan balik... ^^)

    ReplyDelete
  2. anarif: yeah, betol! i'm having penyakit writer's block kot? kadang2 tu bukan xde idea, tp cuma malas~ hak3

    ReplyDelete
  3. syaidatul: will soon...sabar2!

    ReplyDelete
  4. nmpaknye ade gye bhse saspen disini okok ? hahha

    ReplyDelete
  5. nak sambungan cepat la x sabar nak taw crite selanjutnye

    ReplyDelete
  6. sikit je..?? kering idea..?? alahai...... cepat2..cik sheera tggu!!! :)

    ReplyDelete
  7. Xsabar nk tggu seterusnya. Cptla billynineeee...

    ReplyDelete
  8. seruu ,, ceritanya ,,,, ditunggu episode yang lainnya /... :)

    ReplyDelete