Saturday, July 31, 2010

Cerpen: Bukan Kerana Sayang

BANDARAYA DUBAI, UAE


Pintu sliding balkoni dibuka. Punggung dilabuhkan di atas wing chair. Pemandangan kota metropolitan Dubai diperhatikannya dari aras 51 di kondominium mewah, The Atlantis, yang menjadi kediamannya kini. Kren-kren pembinaan yang menaungi pembinaan bangunan tinggi mendominasi pemandangan kota Dubai.

Cuaca sungguh elok. Langit biru mencerlang cerah. Awan putih berambal-ambalan di kaki langit. Kelibat Burj Al-Arab, bangunan tertinggi di dunia ketika ini dapat dilihat dari jauh. Deru angin padang pasir bersemilir lembut, menyentuh mesra membran kulitnya. Terasa aman sedikit sekujur tubuhnya disebalik perasaan yang bercangkaliwang tidak menentu.

‘ Haaaah!’
.
Taufik melepaskan segumpal keluhan. Terasa berat ketika melewati rengkungannya. Seberat cepu akalnya mentafsir peristiwa yang berlegar di ruang minda. Pertemuan dengan Atillia di Dubai Mall sebentar tadi, benar-benar mengganggu-gugat perasaannya. Mengapa dikala dia sedang leka diulit bahagia, Atillia hadir tiba-tiba?
Taufik mengeluarkan pen dari poket kemejanya. Selembar kertas kumal putih-lusuh yang ditindih elok oleh bekas arca lilin dicapainya. Jemarinya digerak-gerakkan, mengait butir-butir bicara di atas kertas itu…

'Bersama bayu yang menghembus, ku kaitkan utas-utas bicara yang tersimpan di lubuk rasa…Aku bukanlah seoarang pujangga, tetapi hanyalah penulis kecil yang sepi mendiam di hujung kota ini. Meskipun catatanku ini tidak bisa dimengertikan olehmu, biarlah aku terus terlanjur mengisi kekosongan lembaran ini. Aku sedar dengan terlukisnya gambaran perasaanku di sini, gurisan hatiku akan kembali berdarah lalu…mengalir ke lautan kecewa.’

“ Fik, tadi Sally ada kol Lia. Dia cakap baju dah siap.” Teriak Atillia di hujung talian.

“ Ha’ah, ye, ye.” Jawab Taufik termangu-mangu. Matanya masih kuyu. Tidurnya yang pulas sebentar tadi diganggu oleh panggilan dari Atillia.

“ Fik! You buat apa ni?” Suara Atillia meninggi.

“ Fik tengah dengar la ni”. Mata Taufik yang kuyu sebentar tadi ditutup rapat, namun bibirnya masih bergerak-gerak mengatur bicara dengan Atillia, tunang yang bakal dikahwininya dua minggu lagi.

“ Ni tak lain tak bukan ni mesti tengah membuta kan? Entah-entah dah berkerak tahik mata tu!” Tempelak Atillia.

Taufik menggesel-geselkan matanya dengan ibu jari. Betul! Ketulan kecil berwarna kuning melekat-lekat di jarinya. Taufik menguntum senyum. Matanya spontan dibuka luas. Taufik ketawa kecil di hujung talian.

“ Hmm..kalau gelak-gelak ni, betullah tu!”

Taufik gelak lagi. “ You ni pandailah sayang”. Taufik membetulkan baringnya. Sebiji bantal dialaskan di bawah kepalanya. “ Okeylah, kejap lagi kita pergi jumpa abang Sally, Ok?”

“ You datang ambil I”

“ Kenapa pulak? Lia lah yang kena datang ambil Fik. Kereta Fik kan dekat rumah Lia?”

Atillia menepuk dahi. Betul! Lupa pula nak pulangkan kereta Taufik yang dipinjamnya tempoh hari.
“ Orait-orait!”

Talian dimatikan. Taufik bingkas mencapai tuala di birai katil. T-shirt Pagoda dan seluar boxer nya dilucutkan. Taufik melangkah ke bilik air.

Praaannnnngggggg!!!!

Langkah Taufik membejat. Dapat didengar dengan jelas oleh kedua-dua ulas telinganya bunyi seolah kaca pecah dari aras bawah banglo dua tingkat itu. Serta-merta rasa pelik menggeroti sekepal hatinya. Setahunya, hanya dia seorang sahaja yang berada di rumah itu ketika ini. Ibu bapanya, Puan Khatijah dan En Rosli masih bercuti di Pulau Bali. Mak Jah dan Pak Sudin, orang gajinya, sedari pagi lagi meninggalkan rumah untuk ke majlis kenduri di Klebang, Melaka. Siapa pula? Taufik bersoal sendiri. Lambat-lambat kakinya mengatur langkah keluar dari bilik itu.

Sampai di kaki tangga, Taufik terkejut. Dilihatnya seorang wanita sedang terjelopok di atas lantai sambil mengurut-ngurut kakinya. Kain batik yang disarungkan wanita itu sedikit terkoyak di bahagian peha. Rambut wanita itu pula kusut masai manakala bahagian dadanya sedikit terdedah. Serpihan kaca tembikar buatan Itali milik ibunya memenuhi segenap lantai.

“ Eh, Naemah apa awak buat ni?” Soal Taufik kepada Naemah, anak kepada Mak Jah dan Pak Sudin yang baru berusia 19 tahun.

“ Arghhhhh!!”

Demi sahaja matanya menangkap kelibat Taufik, anak kepada majikannya itu, Naemah terjerit lantang. Jeritan spontan yang hadir lewat terlihat paras Taufik yang tidak berbaju dan hanya bertuala separas lutut. Serta-merta juga Taufik menyilangkan tangan ke dada bagi menutup tubuhnya.

“ T..tu..tuan! S..sa.saya ingat tu..tuan tak ada dekat rumah.” Suara Naemah bergetar. Pandangannya ditundukkan bagi membendung rasa malu melihat tubuh separuh telanjang Taufik. “ Saya terjatuh tangga, terlanggar pula pasu tu. S..sa..saya minta maaf tuan.”

Belum sempat Taufik mengumpul sumbu kemarahan, loceng rumah berbunyi disusuli oleh ketukan pada pintu beserta dengan laungan salam. Taufik tak jadi marah. Langkah diayun gontai ke pintu rumah. Fikirnya, Mak Jah dan Pak Sudin telah pulang . Namun, saat daun pintu dikuak, rupanya bala yang datang menanti.

“ Kami dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.” Kata seorang lelaki yang elok berbaju Melayu kuning cair dan berkopiah putih. Di sisinya terdapat empat orang lelaki yang lain.

Bagai nak luruh jantung rasanya. Taufik mengucap panjang. Kepalanya digeleng-gelengkan. Puas dinafikannya, puas juga diterangkan jatuh duduk perkara sebenar, namun kelima-lima lelaki yang berada di hadapannya kini masih tidak mempercayai kata-katanya. Wajah Naemah dikerling sekilas. Ahh! Gadis itu hanya tahu menangis sahaja, bukan mahu menolongnya menerangkan hal yang sebenar!

“ Pak Imam tengok tu..yang lelaki hanya bertuala, badan basah-basah pulak tu. Yang perempuan pula, sampai dah koyak-koyak kainnya.” Ujar seorang lelaki yang berjanggut putih.

“ Betul tu pak imam. Tengok tu, yang perempuan rambut dah kusut berselirat. Itu, bahagian dada tu, sampai dah terdedah jadinya,” tempelak seorang lelaki yang berkaca mata pula. Pak Imam menggeleng beberapa kali.

“ Baiklah, mana orang tua kamu?” Soal Pak Imam namun tak bersahut. Taufik resah dalam duduknya.

Seketika terdengar bunyi enjin kereta menderu di perkarangan rumah. Fikir Taufik, kali ini sudah tentu Mak Jah dan Pak Sudin yang pulang. Namun sekali lagi dia terperangah. Yang muncul di muka pintu bukan mereka, sebaliknya Atillia.

“ Fik, jom pegi sekarang. Kita...”

Ayat Atilia mati di situ seiring dengan langkahnya. Wajah Taufik ditatapnya. Tidak lama kemudian, matanya dialih pula ke arah Naemah dan ke arah sekumpulan lelaki yang mengerumuni mereka berdua. Sejurus memandang kembali paras Taufik. Melihatkan muka bersalah Taufik dan tangisan Naemah yang tiada henti, Atillia faham akan kondisi yang menjadi tatapannya kini. Rasa marah dan kecewa serta-merta tergetus. Lantas, tanpa sepatah bicara, langkah di atur laju meninggalkan banglo itu.

“ Lia, tunggu!” Taufik menarik lengan Atillia.

“ Lepaskan aku!” Atillia meronta. Cengkaman tangan Taufik terlerai.

“ I can explain!”

“ No!” Atillia mengangkat tangan separas dada, kemudian menjatuhkannya selari dengan kaki.

“ You tak payah nak explain apa-apa! You are so disgusting!” Atillia tidak dapat menahan marahnya lagi. Cincin pertunangan yang tersarung kemas di jari manisnya dicabut lantas dibaling tepat ke dada Taufik. Tanpa sepatah kata lagi, Atillia berlalu meninggalkan Taufik.

Taufik terduduk di muka pintu.

-------#---------------#------------------#-------------------#---------

Penulisan Taufik terhenti apabila setitis air jernih menitis di atas kertas tersebut. Taufik meletakkan kembali pen itu ke dalam poketnya. Matanya dipejam seketika bagi membendung aliran air jernih daripada menuruni tubir matanya. Taufik berhasil. Aliran air jernih itu berhenti walaupun pandangannya masih berbalam-balam. Lantas pen di poket dicapai semula…

‘Kiranya perpisahan yang kau pinta…terserahlah. Akanku lepaskan dikau walau tidak merelakan.Aku benar-benar terkilan, percintaan yang telah lama terjalin…begini sudahnya.Perpisahan teramat pahit bagiku,namun tidak kukesali dengan apa yang terjadi.Segala kenangan manis yang jadi milik kita bersama suatu waktu dulu,diharap kau singkirkan.Tiada ertinya hatimu berduka dalam dendam yang membara.Aku tahu jiwamu resah gelisah dan hatimu terguris.Sejak peristiwa itu,kau masih menjauhkan dirimu.Mengapa dikau tidak memberi sedikit waktu untukku berbicara? Kau terburu-buru dan terlalu emosional.Sedangkan aku menanti dalam keresahan.’

“Lia, tunggu!” Taufik mengejar Atillia seusai waktu pejabat.

Atillia tidak menyahut mahupun menghentikan langkahnya, malah langkah terus diorak laju. Taufik melaju bagi menyaingi langkah Atillia. Akhirnya Taufik selangkah di hadapan Atillia. Terus memintas. Tangannya didepangkan. Atillia mengalah akhirnya.

“ Apa yang you nak? Jangan ganggu I !”

“ Lia, dengar dulu. Biar Fik explain dulu”

Atillia menutup kedua-dua belah telinganya. Kepalanya digeleng-gelengkan. “ I tak nak dengar apa-apa! Antara kita dah tamat!”

“ Lia, jangan macam ni. Bagi peluang untuk Fik explain dulu..” Taufik merayu.

Atillia tiba-tiba menahan sebuah kereta yang kebetulan berlalu di tepi mereka. Kereta itu berhenti dan seorang lelaki menjadi pemandunya.

“ Akmal, I tumpang you boleh?” Soal Atillia kepada lelaki tersebut.

“ Masuklah”. Jawab lelaki itu sepatah. Kemudian tersenyum sinis ke arah Taufik.

Kereta berlalu pergi. Taufik termangu di sisi jalan.

-------------------------------------------

“ Lia please, sekali ni saja. Dengar apa Fiq nak cakap ni. Please..” Taufik masih belum berputus- asa. Simpati Atillia diharapkannya.

Atillia mematikan langkahnya.

“ I dah letih Fik, please stop this. Antara kita dah tak ada apa-apa. I tak mungkin akan berkongsi hidup I dengan orang macam you. I sangka you dah benar-benar berubah, tapi I silap, you memang tak pernah berubah. You masih dengan perangai playboy you. Sampai anak orang gaji sendiri pun menjadi mangsa!”

Taufik menggelengkan kepalanya. Sungguh, satu tuduhan yang maha berat baginya. Pundaknya terasa berat, meski dengan kedua-dua belah bahu, tidak tertahan jua.

“ Lia, Fik tak tahu macam mana lagi nak cakap. Lia dah salah anggap dengan Fik..” Suara Taufik bernada sendu.

“ You tak payah nak explain lagi…semuanya dah jelas. You dah pun jadi suami Naemah. Hubungan kita tamat di sini!”

Bunyi hon dari sebuah kereta yang berada di seberang jalan kedengaran. Dari dalam perut kereta, kelihatan kelibat Akmal sedang melambai-lambai ke arah Atillia. Atillia menapak ke kereta. Baru beberapa tapak menapak, Atillia berhenti dan menoleh kembali ke arah Taufik.

“ Kenduri I minggu hadapan tetap berjalan seperti yang dirancang. I akan kahwin dengan Akmal.”

Taufik terkedu. Hatinya bagai diblender, hancur, lebur dan lumat. Keparahan yang bersarang di hatinya bagai tidak dapat dibendung lagi. Taufik terduduk kecewa. Hanya linangan air mata yang mengiringi pemergian Atillia. Taufik pasrah.

-------#---------------------#-------------------#-----------------#-------

Pen diletakkan seketika di atas kertas kumal itu. Nafasnya menderu resah. Taufik cuba mengawal pernafasannya, cuba mengawal rasa sebak yang tiba-tiba menghuni tangkai hati. Berkali-kali Taufik berjanji sendiri pada dirinya, bahwa dia tidak akan menangis lagi kerana Atillia. Tidak akan sekali-kali. Namun, benteng kukuh yang dibinanya sejak 3 tahun yang lalu seakan-akan runtuh pada petang indah ini. Sedaya upaya Taufik cuba mempertahankannya.

Pen di atas meja dicapai kembali. Digenggamnya erat pen itu bagi mengumpul sisa-sisa kekuatan. Coretannya diteruskan…

‘Aku pasti,suatu waktu kau akan mengakui kesilapanmu.Waktu itu usah kau cariku lagi,mungkin tika itu aku telah pergi membawa sekeping hati yang terluka.Impian indahku kini telah hancur berkecai. Juga sinar kebahagian kian samar-samar,lantas aku terkapai-kapai dalam kekelaman.Tunas harapan terkulai,namun aku tidak akan rebah di sisi kekecewaanku. Aku akan berdiri sendiri membina kembali batas-batas jalananku yang terhakis.Akanku satukan kembali serpihan hatiku,meskipun calar-calaran yang terlukis terlihat jua.Biarlah kususun batu-batu harapan di puncak banjaran yang gersang.Akan kunanti titisan hujan memenuhi telaga kasih sayangku yang tandus.’

Kapal terbang boeing 747 milik Malaysian Airline System (MAS) selamat mendarat di Dubai International Airport. Perjalanan selama 6 jam dari KLIA begitu melelahkan. Mujur sesampai saja di situ, wakil pihak syarikat MetraWell Holdings sudah menunggu ketibaan mereka. Taufik dan Naemah di bawa menaiki MPV Nissan Liana ke kediaman baru mereka.

‘ Selamat pengantin baru, Atillia’, bisik Taufik perlahan, dalam sendu hatinya bergetaran.

Hari ini, 20 September 2007, hari sepatutnya Taufik diijabkabulkan menjadi suami kepada Atillia. Taufik pasrah. Bercinta tidak semestinya memiliki. Mungkin jodohnya bukan dengan Atillia tetapi dengan Naemah yang telah seminggu menjadi isterinya. Kehidupan seolah-olah terlalu kejam bagi dirinya, namun tidak sekali Taufik melatah. Taufik percaya, setiap dugaan yang ditebar, pasti akan disertakan dengan inti-inti kekuatan bagi manusia menghadapinya.

Itu keyakinan Taufik.

Wajah Naemah di sebelah dipandangnya. Naemah sedang tertidur menyandar pada hujung kusyen. Taufik akui, tiada rasa cinta untuk wanita itu. Rasa cintanya kosong. Benarlah kata orang, cinta pertama memang sukar dilupakan, sesukar dirinya kini untuk membuang rasa cintanya yang masih utuh buat Atillia. Namun tidak adil rasanya dia memperlakukan Naemah sebegitu. Sesukar mana sekalipun, seperit mana harus dilalui sekalipun, Taufik akan sedaya upaya mencurahkan kasih dan sayangnya kepada Naemah.

Itu janji Taufik.

Taufik membuang pandangan ke luar tingkap kereta. Pemandangan kota Dubai menjadi tatapan. Taufik kagum. Bagaimana sebuah padang pasir yang tandus boleh berubah bentuk menjadi sebuah kota yang berkembang paling pesat di dunia pada dekad ini? Dan dirinya kini menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada landskap bangunan moden dan pencakar langit di kota ini. Taufik berbangga, disebalik rimbunan hutan konkrit yang tumbuh melata, terselit juga hasil tangan anak Malaysia. Adalah menjadi aspirasi Taufik untuk mendukung dan membawa nama negara tercinta ke persada dunia.

Itu azam Taufik.

Kereta terus meluncur laju membelah kehangatan malam. Syeikh Zayed road kelihatan lengang. Trafik begitu lancar sekali. Di hujung jalan Syeikh Zayed, berhadapan dengan bangunan tinggi Dubai Financial House, kereta membelok ke kiri pula. Kali ini perjalanan melewati beberapa mercu tanda Dubai antaranya Dubai Mall, palm Deira dan hotel Al-Burj. Menyusuri dan melayari suasana malam kota Dubai begitu mengasyikkan. Buat beberapa ketika, Taufik merasa damai di hati. Terasa segala masalahnya hilang. Jiwanya terasa tenang dan tenteram.

“ We arrive sir!”

Suara pemandu berbangsa Arab itu menghentikan lamunan Taufik. Perjalanan selama hampir sejam setengah bagaikan tidak terasa, sedar-sedar dirinya kini sudah berada di kaki sebuah kondominium mewah di Dubai Marina. Naemah yang masih tidur dikejutkan.

--------#------------------#-------------------#----------------#---------

Nafas ditarik sedalam mungkin, di tahan dan dihamburkannya sekuat hati. Begitu lancar dan ringan pada pertimbangannya. Pen diletakkan kembali ke dalam poket. Kali ini Taufik menggeliat pula. Badannya diliuk-liukkan ke kiri dan ke kanan.

Cuaca masih elok, namun matahari semakin galak melabuhkan tirai di hujung ufuk. Remang langit yang memerah memancarkan panorama yang indah.

Taufik kembali menyandar di wing chair. Pen di poket dicapai semula. Setelah seketika membuat perhitungan diri, Taufik kini benar-benar yakin dengan perasaannya. Di atas kertas kumal putih-lusuh itu, Taufik mengait butir-butir bicara yang seterusnya…

‘Biarpun bertahun-tahun penentuan ini…namun mengharapkan kehadiranmu untuk kali kedua tidak sama sekali.Aku tidak rela pertemuan itu lagi,kerana…aku terlalu bahagia dengan kelukaanku.Biarlah antara kita hanya memendam sebutir harapan yang terbenam.’

Tiga tahun berlalu. Tahun 2010.

Selesai meeting bersama pengurus kanan Emaar Properties, sebuah syarikat pembinaan milik kerajaan Dubai, Taufik bergegas ke keretanya. Ada janji yang perlu ditunaikannya.

“ Papa, jangan lupa, esok besday Amar.” Cepu ingatannya mengingati perbualan dengan anak lelaki tunggalnya yang baru berusia tiga tahun.

“ Yeke..betulke esok besday anak papa ni?” Taufik menggeleng, pura-pura tak ingat. Hidung kecil anak itu dicuitnya.

“ Kalau papa lupa, Amar tak nak kawan dengan Papa. Amar kawan dengan mama sorang saja.” Amar buat-buat merajuk.

Taufik tersenyum sendiri di dalam kereta. “ Papa tak lupa sayang..”

Kereta diparkir di bahu jalan berhadapan dengan Dubai Mall. Kedai mainan di Dubai Mall ditujunya. Deretan kedai mainan yang banyak membuatkan Taufik keliru untuk memilih yang mana satu. Setelah lama berbicara sendiri, akhirnya kedai mainan Kid’s World menjadi pilihan hati.

“ Taufik!!”

Taufik menoleh setelah pasti suara itu datang dari arah belakangnya. Sekelipan hatinya berdetar kencang saat terpandang wajah yang kini berada betul-betul di hadapannya. Taufik terkesima. Dia kenal akan wajah itu.

“ Atillia!”

“ Tak sangka Fik masih ingat Lia.”

Atillia menapak ke hadapan menghampiri Taufik. Taufik berasa pelik. Apa Atillia buat di sini? Mana Akmal? Mengapa Atillia seorang diri? Taufik tidak faham.

“ Hai..you buat apa sini? Alone? Where, where is Akmal?” Taufik menghamburkan tiga soalan serentak.

“ Lia sorang kat sini. Lama Lia cari Fiq, tak sangka akhirnya jumpa juga.” Nada suara Atillia begitu mengharukan.

“ Akmal?” Soal Taufik.

Atillia menggeleng kepala. “ Lia...dah lama berpisah dengan Akmal. Dah dua tahun kami bercerai, Fik.”

Taufik terkejut. Sungguh dia tidak menjangka berita seperti itu. Sangkanya, Atillia berbahagia setelah berpisah dengannya dahulu. Wajah itu dikerling sekilas. Tidak lama kemudian, pandangannya ditundukkan kembali ke bawah. Benar, Atillia masih cantik, malah tidak keterlaluan dikatakan lebih cantik berbanding tiga tahun yang lalu.

“ Fik, Lia menyesal, Lia tahu itu semua bukan salah Fik. Lia terlalu emosi masa tu.” Mata Atillia berkaca-kaca.

“ I really don’t understand”. Taufik meminta penjelasan.

“ Sebenarnya, itu semua rancangan Akmal. Akmal buat semua itu untuk mendapatkan Lia. Akmal yang membuat aduan ke jabatan agama untuk mengenakan Fiq.”

Taufik terperangah mendengar kenyataan itu. Sebetulnya, dia tahu, memang dirinya tidak bersalah langsung. Juga isterinya, Naemah. Padanya, kejadian itu hanya sebuah kecelakaan dan kemalangan. Dan mereka yang menjadi mangsa lantas terperangkap dalam relung masa itu. Namun...tidak disangkanya, ada dalang disebalik kejadian itu.

“ Pada hari kejadian, Akmal tahu Fiq berseorangan di rumah. Dan dia juga mendapat tahu Naemah tidak mengikut kedua-dua orang tuanya ke Melaka pada pagi itu. Kesempatan itu digunakan oleh Akmal untuk memerangkap Fiq, dengan harapan Lia akan meninggalkan Fiq. Ternyata usahanya berjaya.”

Taufik menggeleng tak percaya. Jari-jemarinya dikepal kemas. Bibirnya diketap rapat. Ikut bergetaran kepalanya disurup rasa marah. Sejurus tangannya menumbuk-numbuk ke udara. Kalau Akmal ada di hadapannya kini, sudah tentu dibelasahnya.

“ Fiq, Lia benar-benar menyesal”. Atillia memberanikan diri untuk menyentuh kura tangan Taufik. Dan perlahan-lahan jemari Taufik digenggamnya.

“ Lia sungguh menyesal.”

Taufik tersenyum sinis. “ Mengapa baru sekarang Lia? Why now?” Genggaman tangan Atillia dileraikan perlahan. Taufik menapak setapak kebelakang menjauhi Atillia.

“ Lia tak tahu masa tu..”

“ But I try to explain right? Tak ingatkah Lia bagaimana Fik merayu dekat Lia dulu? Dan tanpa sedikit pun mendengar penjelasan Fik, Lia terus membuang Fik. Ia terlalu menyakitkan. It hurts me a lot.” Air bening mula mengalir.

“ Lia minta maaf, but please believe me Fik, Lia masih sayangkan Fik.” Atillia merayu.

Taufik menggeleng kesekian kalinya. Pada waktu begini Taufik harus membulatkan tekadnya. Prinsip diri tak mungkin digadaikannya.

“ Untuk apa Lia? Antara kita dah tamat!”. Taufik membentak. “ You were just a history. You dah tak ada dalam hidup I. To me, you are just a stain that I want to erase from my life! ”

Air mata Atillia tidak mampu dibendung lagi, mengalir laju selaju sedu-sedannya.

“You cruel, you are cruel, Fik”.

“ No, I wasn’t. I memang macam ni sejak dulu lagi. Betul kata you, I tak pernah berubah dan I tak nafikannya.” Taufik menapak beberapa tapak lagi ke belakang. Atillia terpukul dengan kata-kata Taufik sebentar tadi.

“ I minta you jangan cari I lagi. I bahagia dengan kehidupan I sekarang.” Tukas Taufik sebelum berlalu pergi.

--------#----------------------#---------------------#------------------------#------

‘Bicaraku telah hampir ke perhentian tatkala mentari sedang merah di hujung senja.Lalu…aku akan kembali merangkak ke alam kenyataan.Lambaian tanganmu kian suram di tabir malam.Justeru itu, selamat tinggal untukmu yang pernah melukakanku.’

Yang benar,
Ahmad Taufik Ibtisam’

Pen diletakkan di atas meja. Kertas kumal itu dilipat dan dimasukkan ke dalam sehelai sampul merah. Tiada lagi air mata. Tiada lagi kekesalan.


BANDARAYA KUALA LUMPUR, MALAYSIA


Langit Kuala Lumpur yang bertantang cerah dipandangnya tanpa perasaan. Angin metah yang bersemilir halus dibiarkan saja mengalun lembut rambut ikalnya. Ikut mengalun sepasang gaun putih yang tersarung di badannya. Beralun-alun seolah ditiup oleh alunan merdu alat muzik. Namun, itu semua tidak langsung menggamit ria di hatinya yang disimbah nelangsa. Sebetulnya perasaannya telah mati seperti ikatan simpul pada seutas tali. Mati tetapi hidup. Hidup tetapi tidak berperasaan.

Sekeping kertas kumal lusuh yang berada di tangannya itu, ditatap entah keberapa kali sudah. Coretan daripada Taufik itu bagai menghukum dirinya. Semakin kerap dia membaca, semakin tidak menentu pula perasaan libang-libunya. Saat ini dirasakan hidupnya tidak lagi bererti. Sejenak, dia memejamkan matanya. Kedua-dua belah tangan didepakan. ‘ Untuk apa lagi aku terus hidup, jika penderitaan yang aku tanggung?’

“ Lia! Jangan buat mak macam ni!”

Matanya terbuka spontan. Niatnya itu tiba-tiba tergendala. Ditoleh sepintas ke arah belakangnya. Kelihatan kelibat ibunya, Puan Juhara sedang mengendong anak perempuannya, Sofia yang baru berusia dua tahun setengah.

“ Jangan dekat! Aku kata jangan dekat. Kalau tak aku terjun!” Atillia menjerit bagai orang gila.

“ Jangan!” Puan Juhara turut terjerit sama. Langkahnya serta-merta membejat. Kakinya menggigil-gigil ketakutan. Sofia yang tidak mengerti apa-apa tiba-tiba sahaja menangis.

“ Mama! Mama buat apa tu? Sofia takut.”

Tangisan daripada Sofia itu terkesan di hati Atillia buat seketika cuma. Kemudian pandangannya kembali di tala ke arah bawah bangunan kondominium 15 tingkat itu. Kelibat orang ramai yang berkumpul di bawah bangunan itu memerhatikan dirinya tidak dipedulikan langsung. Matanya dipejamkan sekali lagi. Saat ini, kewarasan akal diketepikan dengan iman yang hanya setebal kulit bawang sahaja. Jelas syaitan menguasai diri, merasuk hingga kesegenap urat darah.

“ Lia, mengucap nak. Ingat siapa kita. Kita ni orang Islam. Allah melaknat perbuatan seperti ini.”

Atillia tidak mempedulikan nasihat Puan Juhara.

“ Lia!

Atillia terjun jua dari atas bangunan itu. Terduduk Puan Juhara serta-merta meraung. Ya Allah, ya Allah...ya Allah. Dalam sendu lafaz itu berkumandang. Hati ibunya hancur luluh.

Namun, tiba-tiba sahaja raungannya itu termati andar bila telinganya dapat menangkap suara samar-samar orang meminta tolong. Serta-merta dia mencelapak ke penjuru bangunan.

“ Tolong...”

“ Ya Allah, Lia.”


HOSPITAL TANJUNG RAMBUTAN, PERAK


“ Bagaimana keadaan pesakit doktor?” Soal Taufik kepada Doktor Tifhan, seorang doktor psikiatrik di hospital itu.

Doktor itu menghela nafas panjang. Menarik kaca matanya.

“ Secara fizikal pesakit saya tidak mempunyai apa-apa masalah. Cuma dari segi mental, dia terjejas teruk. Pesakit menghadapi depression dan kemurungan yang melampau, menyebabkan dia bertindak untuk membunuh diri. Tetapi nasibnya baik bila gaun yang dipakainya ketika kejadian tersangkut pada sebatang besi ceracak pada bangunan itu. Mujur dia sempat diselamatkan.”

“ Ada peluang untuk pesakit sembuh?” Soal Taufik.

“ Peluang memang ada, tetapi ia memakan masa. Sebab itu saya menghubungi Encik Taufik untuk ke sini. Sebab saya percaya Encik Taufik boleh membantu pesakit untuk sembuh.”

“ Saya sedia bekerjasama doktor.”

“ Baiklah. Kalau begitu kita akan berjumpa lagi.” Sejurus bersalam, Doktor Tifhan berlalu pergi meninggalkan Taufik di situ.

Taufik memerhatikan Atillia dari luar sel kurungan. Tubuh Atillia kelihatan cekung tidak bermaya. Langsung tiada serinya. Sebelah tangan Atillia memegang sekeping sampul surat merah, manakala sebelah lagi memegang sekeping kertas kumal lusuh. Rasa pilu tiba-tiba bertandang memborgol sekepal hatinya. Tahulah dia bahawa surat yang dikirimnya kepada Atillia kira-kira tiga bulan yang lalu telah menjadi penyebabnya. Penyebab kepada gangguan mental yang dihadapi oleh Atillia

Ihsan Taufik melepaskan keluhan. Terasa berat ketika melewati tekaknya. Sejurus dia terduduk di situ. Bersandar pada dinding sel. Sebatang pen berserta kertas putih kecil dikeluarkan dari kocek bajunya. Taufik ralit mengait coretan pada kertas itu...

Walau gurisan hatiku akan kembali berdarah, lalu mengalir ke lautan kecewa, aku sanggup merenanginya. Biarlah sebutir harapan yang terbenam, kini menyala semula. Jika itulah apa yang kau pinta, aku merelakannya. Aku akan kembali menggmit lambaian tanganmu yang kian pudar. Biar luka lama bernanah kembali. Kerana bagi aku, hidup aku bukan kerana sayang, bukan kerana cinta, tetapi kerana sebuah tanggungjawab. Justeru itu, sanggupkah engkau menjadi suri dalam hidupku?

Yang benar,
Ahmad Taufik Ibtisam’

Pen diletakkan kembali ke dalam kocek. Kertas kecil itu dilipat dan dimasukkan ke dalam sehelai sampul merah. Kemudian, perlahan-lahan sampul itu dimasukkan ke dalam sel kurungan Atillia melalui celah bawah pintu.

Tiada lagi kekesalan. Tiada lagi air mata.

-TAMAT-

11 comments:

  1. mcm sebuah kisah benat lak.. hehe

    ReplyDelete
  2. owh...xdelah adit..ini kisah rekaan semata-mata

    ReplyDelete
  3. best!
    gaya bahasa dia...fuh! jiwang gila
    kontra dgn cinta samosa, tp best

    ReplyDelete
  4. waa bagus.. ada bakat penulisan...
    mana sambunganya?

    ReplyDelete
  5. alamak!jd gila plak Atilia..urmm~tp kecewa la ngan citer ni..ending sedih..haha~

    ReplyDelete
  6. anding bg la hapy sedey2 x syok ar

    ReplyDelete
  7. best ade bakat besar ni keep it..

    ReplyDelete